Thursday, 26 January 2012

Penting dan Sebarkan: Sebab Sebenar Pas Ditendang Dari BN

Ucapan penuh Tun Hussin Pada Tahun 1977
(dipetik dari blog Pemuda Umno Jasin)

"Terlebih dahulu saya dengan sukacitanya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan setinggi-tingginya penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang telah bersusah payah datang dari jauh dan dekat dan secara tergesa-gesa menghadiri perjumpaan ini. Perjumpaan ini amat penting bagi menentukan nasib orang Melayu khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya.
 Allahyarham Dato’ Seri Ali bin Haji Ahmad


Perjumpaan kita hari ini diselubungi oleh suasana sedih dan pilu. Sedih kerana kehilangan seorang menteri yang telah banyak berjasa kepada UMNO dan negara. Kemalangan kapal terbang MAS di Tanjung Kupang, Johor yang telah mengorbankan 100 nyawa, sungguh mengejut dan mengharukan kita semua. Oleh itu sempena dengan perjumpaan kita yang bersejarah ini, marilah kita beramai-ramai mendoakan semoga Allah s.w.t mencucuri rahmatnya ke atas roh Allahyarham Dato’ Seri Ali bin Haji Ahmad serta lain-lain roh orang yang telah terkorban dalam kemalangan itu.

Sebelum saya menyebut perkara penting dalam perjumpaan ini, marilah kita menoleh sejenak ke belakang mengkaji semula dengan secara ringkas perkembangan yang telah berlaku sehinggalah keperjumpaan yang diadakan pada petang ini.

Saya tidaklah berhajat hendak menerangkan kemajuan dan kejayaan UMNO yang telah lalu atau kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh Perikatan sejak ia ditubuhkan. Kesemuanya ini ada dalam pengetahuan tiap-tiap ahli UMNO. Demikianlah juga dengan hasrat dan tujuan menubuhkan Barisan Nasional yang telah menyatupadukan sehingga ke hari ini sebelas buah parti politik yang yang sebilangannya telah menentang UMNO pada masa sebelumnya.

Sesungguhnya UMNO telah membuat membuat banyak pengorbanan politik bagi memenuhi hasrat dan matlamat Barisan Nasional. Walaupun perjalanan kita masih jauh dan penuh dengan liku-liku tetapi Barisan Nasional telah dapat menumpukan sepenuh tenaga memupuk dan menyuburkan semangat kerjasama dan persefahaman dalam melaksanakan rancangan pembangunan, membawa kemakmuran dan kebahagiaan kepada rakyat berbilang kaum.

Barisan Nasional berazam akan terus dengan penuh keberanian dan dengan usaha yang lebih bersungguh-sungguh mewujud dan mengeratkan perpaduan. Dengan sokongan rakyat saya percaya Barisan Nasional akan mencapai kejayaan.

Barisan Nasional merupakan satu federasi yang longgar kerana tiap-tiap parti yang bergabung ingin mengekalkan identiti partinya masing-masing. Tetapi parti-parti komponen adalah terikat dengan semangat ingin bekerjasama, saling mengerti sesama sendiri dan yang paling penting sekali ialah mematuhi disiplin parti.

Semangat kerjasama dan persefahaman adalah penting bagi menyelesaikan masalah negara. Ia lebih berharga dengan membuktikan dalam amalan daripada semata-mata mengadakan perakuan-perakuan sahaja tetapi tidak dipraktikkan.

Inilah caranya Barisan Nasional bergerak selama ini dari semenjak ia ditubuhkan. Hasil kejayaan penubuhan Barisan Nasional telah dapat dilihat dengan nyata apabila parti ini mencapai kemenangan yang paling gemilang dalam pilihan raya tahun 1974. UMNO yang paling mempelopori gabungan ini serta memastikan ia dapat terus wujud kukuh dan teguh supaya pembangunan negara dapat diselenggarakan dengan lebih licin, sempurna dan jayanya.

Parti-parti politik yang bercorak gabungan seperti Barisan Nasional ini sudah pasti sekali-sekala menghadapi masalah. Pertentangan pendapat dan perbezaan cara mendekati dan menyelesaikan sesuatu masalah merupakan satu perkara biasa yang memang diramalkan dari mula-mula lagi.

Peristiwa perpecahan parti komponen Barisan Nasional di Sabah merupakan kejadian pertama yang telah berlaku. Walaupun perkara ini belum dapat diselesaikan dengan sepenuhnya tetapi Insya Allah penyelesaian terakhir akan dapat dibuat dengan secara beransur-ansur. Pergolakan yang sedang kita hadapi di Kelantan sekarang merupakan peristiwa kedua. Perkara ini besar, yang berkehendakkan pengkajian dan pertimbangan yang serius kerana ia melibatkan soal pokok.
Dato’ Haji Mohamad Nasir


Sebagaimana kita maklum, Dato’ Haji Mohamad Nasir telah dipilih menjadi Menteri Besar hasil daripada persefahaman dan semangat tolak ansur di antara Allahyarham Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Ketua Barisan Nasional di masa itu dengan pucuk pimpinan PAS yang mempunyai suara majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan. Semangat tolak ansur seperti ini patut sentiasa wujud, digalak dan dikekalkan. Ia merupakan faktor utama bagi mengekal dan menjamin perpaduan dalam Barisan Nasional.

UMNO tidak berhajat dan tidak mahu mencampuri langkah-langkah pimpinan PAS melucutkan jawatan Dato’ Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan semata-mata kerana menghormati kehendak-kehendak pucuk pimpinan PAS mendakwa perkara itu merupakan soal rumah tangga PAS. UMNO menganggap perkara itu sebagai masalah Barisan Nasional. Langkah itu juga telah diambil oleh pucuk pimpinan dengan tidak ada sedikit pun perundingan dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional terlebih dahulu.

UMNO tidak dapat menyokong langkah yang diambil oleh pucuk pimpinan PAS dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 15 Oktober itu bukan kerana UMNO tidak dibawa berunding, tetapi kerana UMNO tidak tahu sebab atau diberitahu sebab-sebab mengapa Menteri Besar Dato’ Haji Mohamad Nasir dilucutkan daripada jawatannya. Oleh itu sikap berkecuali yang telah diambil oleh UMNO itu adalah satu tindakan yang munasabah. Tambahan pula UMNO masih lagi berharap hendak mengekalkan perpaduan dengan PAS.
PAS


Malangnya peristiwa melucutkan jawatan Menteri Besar itu dengan tidak disangka-sangka telah mencetuskan kejadian yang buruk. Peristiwa yang telah mengakibatkan kecederaan sebilangan orang yang tidak berdosa, kemusnahan harta benda dan boleh mengancam nyawa dan keselamatan rakyat telah juga mengancam keselamatan negeri Kelantan. Jika keadaan ini tidak dikawal segera ia akan melibatkan keselamatan negara seluruhnya.

Sebagai Perdana Menteri saya bertanggungjawab di atas keselamatan negara dan kebajikan rakyat, saya terpaksa mengambil langkah yang tegas. Keadaan darurat telah diisytiharkan bagi negeri Kelantan. Satu undang-undang dirangka yang meletakkan kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan. Langkah-langkah ini diambil pada masa menteri-menteri dari Parti PAS masih lagi bersama-sama kita dalam jemaah Menteri. Rang Undang-Undang ini kemudiannya telah diluluskan oleh Parlimen.

Kerajaan Darurat terpaksa ditubuhkan di Kelantan dengan tidak mengira siapakah yang menjadi parti pemerintahnya. Sama ada ia dari parti lawan ataupun parti kawan tidaklah penting kerana yang pentingnya ialah keselamatan dan kebajikan rakyat Kelantan sendiri. Saya memanglah sentiasa meletakkan kepentingan keselamatan di atas segala-galanya.

Memang benar demokrasi telah mati di Kelantan. Tetapi rakyat Kelantan telah dapat terus hidup dengan penuh keyakinan di atas keselamatan dan masa depan mereka. Demokrasi di Kelantan tetap akan dipulihkan sebaik-baik sahaja keadaan mengizinkan.

Bukti nyata kita semua telah dapat nikmati sekarang dimana pemerintahan NOC atau Mageran tahun 1969 telah dimansuhkan dan kita telah kembali kepada pemerintahan demokrasi. Tempoh dan lama masa berjalannya kerajaan darurat di Kelantan itu hanya dikehendaki sekadar yang wajib sahaja.

Lebih pendek adalah lebih baik. Kerajaan Pusat berikrar akan memulihkan kembali pemerintahan demokrasi seberapa segera yang boleh. Sebagaimana kita semua sedia maklum bahawa parti PAS yang mempunyai anggota di Dewan Undangan yang lebih ramai akan tetap memegang teraju pemerintahan negeri itu semula dan bukanlah UMNO.

Malang sekali tujuan baik Kerajaan Pusat dan rang Undang-undang yang telah mendapat persetujuan daripada Parlimen itu telah sengaja disalah faham dan disalahtafsirkan oleh pucuk pimpinan PAS. Semua wakil rakyat PAS, telah menyokong rang undang-undang penubuhan kerajaan Darurat di Kelantan itu.

Biarlah saya bersalah dalam tindakan saya mengadakan undang-undang itu. Tetapi saya tidak sanggup memikul dosa yang lebih besar dengan membiarkan berlakunya pertumpahan darah, pengorbanan nyawa, kecederaan dan kemusnahan harta benda. Sebagai Perdana Menteri saya tidak boleh memandang ringan perkara ini. Saya berkewajipan penuh melindungi nyawa rakyat.

Tindakan saya ini telah disambut baik dan disokong oleh sebahagian besar penduduk dan rakyat Kelantan sendiri. Saya tidak faham kenapa pucuk pimpinan PAS tidak mahu menyokongnya. Saya tahu tidak semua ahli PAS bersetuju dengan tindak tanduk pucuk pimpinannya. Sebenarnya UMNO juga memerlukan kerjasama PAS dan tidak sekali-kali meragukan penyertaan PAS tetapi yang kita sangsikan ialah sikap dan pendirian pucuk pimpinannya.

Perbuatan pucuk pimpinan PAS menentang arahan parti anggota Barisan Nasional sama ada di dalam atau pun diluar dewan ini dimasa akan datang. Jika semangat kerjasama dan saling mengerti ini luntur dan disiplin parti diketepikan, akibatnya Barisan Nasional akan hancur. Kita semua tahu bahawa disiplin merupakan rahsia perpaduan dan kekuatan Barisan Nasional selama ini.

Disiplin adalah paling mustahak dalam penghidupan manusia dan hendaklah diutamakan. Mengenakan disiplin di atas diri sendiri pun merupakan perkara penting, apatah lagi masyarakat atau pertubuhan seperti parti-parti politik.

Satu daripada sebab-sebab kejayaan UMNO selama selama ini ialah kerana ahli-ahlinya mematuhi disiplin parti serta menghormati dan menjunjung tinggi peraturan yang ditetapkan. Parti-parti yang ahlinya tidak patuh kepada disiplin akan membawa kehancuran kepada parti itu sendiri.

Soal mengenai siapa yang bersalah sehingga mengakibatkan tercetusnya kejadian buruk di Kelantan itu tidaklah berfaedah dibangkitkan. Tetapi perkara yang paling penting dan yang patut diutamakan ialah melindungi nyawa rakyat terlebih dahulu. Sebagai Perdana Menteri, saya mengetahui dengan sedalam-dalamnya masalah keselamatan dalam negeri. Saya mesti bertindak sewajarnya mengikut keadaan.

Saya telah pun menerangkan bahawa saya tidak menyebelahi mana-mana pihak yang terlibat dalam peristiwa Kelantan itu. Saya jalankan segala tindakan yang perlu bagi mengawal dan mententeramkan keadaan di atas sifat saya sebagai Perdana Menteri.

Yang bertanggungjawab di atas kepentingan, keselamatan dan kebajikan rakyat, bukan sahaja di Kelantan bahkan di seluruh tanah air kita. Inilah amanah yang telah bertanggungjawab oleh rakyat kepada saya. Saya tidak faham mengapa pucuk pimpinan PAS tidak tidak memahami hakikat ini. Soal keselamatan adalah satu perkara yang tidak boleh dijadikan tawar menawar.

Di bawah kuasa-kuasa darurat, Pengarah Kerajaan negeri Kelantan adalah bertanggungjawab kepada saya sebagai Perdana Menteri. Saya pula bertanggungjawab kepada Jamaah Menteri di mana menteri-menteri dari PAS menganggotainya.

Saya akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dimana menteri-menteri dari PAS menganggotainya. Saya akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dari masa ke semasa mengenai perkembangan dan kemajuan di negeri Kelantan masa itu menteri-menteri dari PAS boleh membangkitkan sebarang kemusykilan mengenainya. Sebaliknya mereka telah mengambil tindakan meletakkan jawatan beramai-ramai dari menyertai kerajaan.

Dalam masa kita sedang mencari-cari jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi mengatasi keadaan buruk yang tercetus di Kelantan itu, tiba-tiba pucuk pimpinan PAS menimbulkan lagi berbagai masalah lain dengan mengemukakan undi tidak percaya kepada beberapa orang Menteri Besar yang terdiri draipada ahli-ahli UMNO.

Di antara yang yang paling baru ialah di negeri Kedah. Menteri-menteri Besar boleh ditukar ganti tetapi apa yang meragukan ialah tentang sejauh mana keikhlasan pucuk pimpinan PAS melakukan perbuatan-perbuatan ini dengan tidak mahu berunding terlebih dahulu dengan kita.

Dimanakah letaknya semangat kerjasama pucuk pimpinan PAS dalam Barisan Nasional? Apakah salahnya jika perkara ini dirundingkan dengan kita terlebih dahulu? Jika kita sanggup merundingkan terlebih dahulu mengenai hal-hal negeri Kelantan dengan pucuk pimpinan PAS, mengapakah pucuk pimpinan PAS mahu membelakangkan kita mengenai hal di negeri-negeri yang lain?

Sungguh sukar sekali bagi kita hendak memahami tindak-tanduk pucuk pimpinan PAS ini. Setelah menimbulkan gejala-gejala ini, pucuk pimpinan PAS melahirkan hasrat hendak terus kekal dalam Barisan Nasional. Kita sungguh tidak faham dengan sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS ini.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah yang akan datang pada 17 Disember ini sudah pasti akan menimbulkan perbalahan yang hebat. Tidakkah pucuk pimpinan PAS sedar atas perkara ini?

Apakah tujuan pucuk pimpinan PAS membuat demikian? Bukankah ini semuanya merupakan gejala-gejala yang sengaja ditimbulkan dengan niat hendak memecah-belahkan Barisan Nasional? Di negeri Johor pula, pucuk pimpinan PAS di sana telah memberi amaran yang merupakan kata dua bahawa calon-calon PAS akan bertanding dalam semua kawasan pilihan raya menentang Barisan Nasional.

Dalam pilihan raya tahun 1974, UMNO sebenarnya menghadapi kesulitan kerana terpaksa bertolak ansur dengan memberikan beberapa kerusi baru dan kerusi-kerusi tambahan kepada PAS. UMNO terpaksa berbuat demikian semata-mata dengan tujuan hendak mewujud dan mengekalkan semangat kerjasama UMNO dengan PAS demi kepentingan dan faedah rakyat.

Pucuk pimpinan PAS telah juga memberi amaran bahawa kononnya lima buah negeri di Semenanjung Malaysia akan menerima nasib seperti di Pulau Pinang.

Agaknya mereka merujuk kepada peristiwa pilihan raya tahun 1969 dahulu jika sekiranya PAS meninggalkan atau dikeluarkan daripada Barisan Nasional. Ugutan dan ancaman seperti ini merupakan satu provokasi yang merbahaya. UMNO mempunyai maruahnya sendiri.

Kita sering kali juga mendengar desakan supaya pucuk pimpinan PAS mengkaji semula kedudukan PAS dalam Barisan Nasional, Perkara ini telah dibangkitkan dalam tiap-tiap Perhimpunan Agung PAS selama tiga tahun berturut-turut setelah PAS menyertai gabungan besar ini.

Penubuhan ranting-ranting PAS dalam kawasan-kawasan UMNO juga menimbulkan kecurigaan dan boleh membangkitkan salah faham di kalangan rakyat. Banyak lagi perbuatan dan tindakan pucuk pimpinan PAS yang meragukan.

Kita sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh memelihara perpaduan Barisan Nasional. Tetapi bagaimanakah perpaduan dapat dikekalkan jika ada pihak-pihak yang tidak mahu mengikuti peraturan dan tidak mahu mematuhi keputusan yang dipersetujui oleh ramai. Perpaduan yang hanya ada pada nama sahaja tidak membawa erti apa-apa tidak berfaedah.

Walaupun Barisan Nasional terpaksa berpecah, tetapi ini tidak bererti pembangunan akan terjejas dan terhenti. Pembangunan tetap akan berjalan terus. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mesti dijayakan dengan sepenuh-penuhnya. Inilah janji saya kepada rakyat sekalian.

Berikutan dengan berlakunya kejadian-kejadian ini, saya telah mengadakan sidang tergempar Dewan Tertinggi Barisan Nasional pada Disember 1977, Fasal 14, Perlembagaan Barisan Nasional membolehkan dengan suara majoriti memecat parti-parti ahli yang bergabung yang didapati melanggar disiplin. Tetapi Barisan Nasional sekali-kali tidak berniat hendak menggunakan Fasal tersebut bagi memecat PAS.

Barisan Nasional masih lagi, jika boleh, berkehendakkan PAS tinggal kekal dalam Barisan Nasional. Sungguhpun demikian, disiplin parti mesti dipelihara dan dipatuhi kalau kita mahu melihat Barisan Nasional hidup berpanjangan. Oleh itu satu usul yang merupakan suatu tolak ansur sebagai jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi meyelesaikan masalah ini telah dikemukakan dalam Dewan Tertinggi Barisan Nasional itu.

Tolak ansur ini merupakan usul yang berkehendakkan supaya parti-parti anggota yang ahli-ahlinya didapati menentang arahan parti whip mengenai sesuatu masalah yang dibentangkan di dalam dewan rakyat, dewan negara atau dewan negeri hendaklah mengambil tindakan disiplin terhadapnya dengan memecat mereka itu daripada parti masing-masing.

Apabila semangat kerjasama yang tulus ikhlas itu luput dan disiplin parti telah diketepikan, Barisan Nasional sudah tentu akan pecah dan musnah. Jika ini berlaku tentulah tidak berguna lagi. Eloklah kekusutan yang berlaku ini diselesaikan sekarang juga kerana jika dibiarkan berlanjutan akan merugikan parti dan rakyat.

Daripada sebelas parti anggota dalam Barisan Nasional, sembilan telah menyokong, PPP berkecuali dan PAS menentang usul itu. Keputusan suara terbanyak ini telah dimaklumkan dengan secara rasmi kepada pucuk pimpinan PAS.

Memandangkan betapa pentingnya masalah yang kita hadapi, saya telah mengadakan mesyuarat khas majlis Tertinggi UMNO malam tadi. Majlis tertinggi UMNO telah membincangkan dengan teliti segala akibatnya terutama sekali tentang sikap pucuk pimpinan PAS yang ada sekarang, yang terang-terang menggugat perpaduan Barisan Nasional khususnya dan perpaduan orang Melayu amnya. Kami berpendapat bahawa haruslah diwujudkan kesungguhan dan keikhlasan bagi memperkukuhkan Barisan Nasional.

Memandangkan kepada perbuatan, sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS selama ini, UMNO berpendapat kerjasama yang erat tidak mungkin dapat terus wujud di antara UMNO dengan PAS dalam Barisan Nasional.

Oleh yang demikian, bagi mengelakkan pertelingkahan ini berpanjangan, yang akhirnya akan membawa perpecahan kepada Barisan Nasional, Majlis Tertinggi UMNO telah dengan perasaan amat dukacita mengambil pendirian, jika pucuk pimpinan PAS tidak mematuhi dan mengambil tindakan sebagaimana yang dikehendaki di dalam Mesyuarat Dewan Tertingginya pada 5 Disember yang lalu, UMNO akan meminta diadakan mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional supaya dipersetujui resolusi memecat PAS daripada Barisan Nasional.

Pagi ini saya telah menyampaikan pendirian UMNO itu kepada ketua-ketua parti anggota Barisan Nasional. Ketua-ketua parti anggota Barisan Nasional dalam perjumpaannya pagi ini telah bersetuju supaya mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional diadakan pada 13 Disember yang akan datang ini.

Inilah tujuan kami mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua bahagian UMNO petang ini bagi menjelaskan pendirian yang telah diambil oleh Majlis Tertinggi UMNO itu.

UMNO sudah membuat keputusan dan menentukan pendiriannya. Keputusan dan pendirian itu adalah dibuat dengan hati yang suci, demi kepentingan Barisan Nasional dan negara. Saya yakin dengan kesucian hati kita itu, Allah akan memberkati perjuangan kita.

Saya merayu kepada semua ahli UMNO supaya bertenang dan terus menjalankan tanggungjawab kita dengan lebih berhati-hati lagi, lebih bersungguh-sungguh lagi dan lebih berdedikasi lagi. Masa hadapan Barisan Nasional penuh dengan cabaran. Kita akan menghadapinya dengan meminta petunjuk dan keredhaan Allah.

Dengan ini maka kita menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada Allah."

FAKTA TAMBAHAN.


Izinkan saya memberi sedikit fakta tambahan.

AntarapPunca sebenar krisis kelantan 1977 adalah berpunca dari pihak PAS itu sendiri. Malah didalam portal PAS pusat itu sendiri menyatakan bahawa ianya bermula apabila timbulnya ketidak puasan hati PAS terhadap Menteri Besar ketika itu, Datuk Muhamed bin Nasir.

Yang tidak diceritakan oleh PAS:

1... Ada diantara pemimpin PAS Kelantan memfitnah dan menuduh Datuk Muhamed bin Nasir terlalu mengikut telunjuk UMNO-BN. Hakikatnya pd ketika itu UMNO-BN tidak pernah campur tangan dlm corak pemerintahan PAS (ketika itu). Malah, sedangkan ketika itu keputusan pemerintahan PAS Kelantan masih ditangan kuasa majoriti dewan undangan negeri.

2... Malah pada ketika itu juga terdapat usaha dalam PAS utk menjatuhkan Presiden PAS (ketika itu) Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohd Asri bin Haji Muda. Usaha menjatuhkan Datuk Mohd Asri hanya kerana Datuk Mohd Asri adalah tokoh PAS yg bertanggungjawab membawa PAS menyertai Barisan Nasional pada tahun 1973.

3...Asas yg digunakan oleh sebahagian pemimpin PAS Kelantan (ketiak itu) utk menolak Datuk Mohd Asri dan Dato' Muhammad Nasir, hanya kerana selepas PRU 1973, PAS mempunyai kuasa majoriti dgn 22 kerusi dan UMNO hanya 13 kerusi, dan tidak memerlukan sebarang usaha bergabung antara PAS dan UMNO.

4...Dalam tempoh (1973-1978) Datuk Mohd Asri selaku Presiden PAS dan Dato' Muhammad Nasir telah dikaitkan dengan pelbagai spekulasi dan masalah khususnya melibatkan Pas di Kelantan. Hakikatnya spekulasi dan tuduhan tersebut adalah hasil putar belit fakta sebahagian pemimpin dan ahli2 PAS yg tidak berpuashati dgn perpaduan PAS-UMNO.

5...Krisis Kepimipinan PAS Kelantan 1977 dikatakan timbul hasil ketidakpuasan hati terhadap Menteri Besar, Dato'Haji Muhammad Nasir. Beliau dipecat sebagai MB Kelantan oleh Pucuk Pemimpin PAS Kelantan itu sendiri.

6...Sementara Datuk Mohd Asri mula ditendang keluar oleh Pucuk Pemimpin PAS Kelantan selepas PRU 1978, dengan desakan-desakan supaya beliau meletakkan jawatan selaku Yang Dipertua Agung PAS, desakan yang datang dari beberapa pimpinan Pas antaranya dengan Pesuruhjaya Pas Kelantan dan Ketua Dewan Ulama' Pas Pusat Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau akhirnya mengumumkan perletakan jawatan sebagi Yang Dipertua Agung PAS pada 23 Oktober 1982.

FAKTA TAMBAHAN 11.

.Krisis Kepimipinan PAS Kelantan 1977 ini yg membawa kepada undi tidak percaya kepada MB Kelantan pada 15 Oktober 1978.
Apapun Kerajaan Pusat ketika itu menghormati keputusan yg dibuat oleh PAS Kelantan, atas dasar persefahaman dan tidak masuk campur dgn alasan yg diberi oleh PAS Kelantan itu dgn mendakwa perkara itu merupakan soal rumah tangga PAS.

8...Tumbangnya Dato' Muhammad Nasir akibat perebutan kuasa dalam PAS, telah menyebabkn berlakulah rusuhan yg dimulakan oleh penyokong Nasir di Kota Bharu. Rusuhan ini telah mengakibatkan kerosakkan harta benda, mengancam nyawa dan keselamatan rakyat dan juga mengancam keselamatan negeri Kelantan.

9...Seperti yang dinyatakan oleh Tun Hussein Onn didalam ucapan beliau pada 9 Disember 1977, selaku perdana menteri ketika itu, belau harus bertanggungjawab di atas keselamatan negara dan kebajikan rakyat, yang dikhuatiri rusuhan diKelantan mungkin akan merebak ke negeri2 lain, dan mengengkang rusuhan seperti peristiwa 13mei berulang.

10...Pada November 1977,Parlimen Persekutuan meluluskan rang undang-undang darurat Kelantan yang meletakkan Kelantan ditadbir secara terus oleh Kerajaan Pusat.

11...Rang undang2 Darurat Kelantan dirangka bersama menteri2 PAS yg ketika itu masih lagi bersama-sama UMNO dalam jemaah Menteri. Dan diluluskan oleh Parlimen setelah mendapat persetujuan majoriti termasuk dr kalangan menteri PAS sendiri.
NIK AZIZ


12...Setelah Kelantan dibawah Darurat. Datuk Mohd Asri menerima tekanan dari beberapa pimpinan Pas terutamanya Nik Aziz selaku Pesuruhjaya Pas Kelantan dan Ketua Dewan Ulama' Pas Pusat yg dari awal begitu lantang menetang gabungan PAS-BN.

13...Hasil dari desakan itu, Haji Hassan Adli Arshad selaku Timb. Yang DiPertua Agung PAS dijadikan kambing hitam PAS apabila beliau dipecat oleh Datuk Mohd Asri yg kononnya beliau menjadi ketua menteri2 PAS yg menyokong rang undang-undang Darurat.

14...Malah beberapa pimpinan Pas yg menentang gabungan PAS-UMNO ketika itu terutamanya Nik Aziz mula menunjukkan sikap memberontak dalam perikatan gabungan PAS-UMNO, menetang setiap arahan dan perlaksanaan kemajuan yg dilakukan BN di Kelantan.

15...Pemberontakan dalaman ini memungkin barah berlaku dalam BN, hasil ketiadaan disiplin pemimpin PAS ini, telah menyebabkan UMNO terpaksa membuka tali yg mengabungkan PAS-UMNO.

16...Rentetan dari itu juga menyebabkan Krisis dalaman PAS yang kepada perpecahan PAS pada beberapa parti serpihan seperti Berjasa dan Hamim.

17...Keluarnya PAS dari gabungan BN-UMNO, telah menyaksikan satu PRK Kelantan diadakan pada Mac 1978.

18...Pada PRK mac 1978, rakyat menjadi gempar setelah pekong yg selama ini disimpan oleh beberapa pimpinan Pas diantaranya Nik Aziz ketika itu terbongkar, apabila isu pemberian kontrak balak diberikan sewenang-wenangnya membuktikan bahawa PAS cuba menggadaikan Negeri Kelantan.


ADMIN: RENUNG RENUNGKAN LAH

Ketika mulutnya ternganga tersingkap kejahilan


ADA pepatah yang menjelaskan sebuah hakikat diri seseorang: "Ketika dia diam, kita menyangka dia orang pandai. Namun ketika dia mula berbicara maka jelaslah kejahilannya". Kata-kata hikmah ini sangat tepat malah sering terlihat dalam masyarakat kita.
Betapa banyak orang yang pada mulanya kita sangka mempunyai minda 'genius' ketika dia diam. Sebaliknya apabila mulutnya mula ternganga dan lidahnya terjelir saat berkata-kata, terus sahaja kita menjatuhkan hukuman terhadap dirinya: "Ternyata orang ini tidak memahami apa-apa".
Kesalahan ini terletak pada lidahnya. Kerana pulut, santan binasa kerana mulut, badan binasa. Orang mengetahui dia jahil apabila dia bersuara. Seandainya dia hanya mendengar dan diam sampailah tamat isu yang dibangkitkan, nescaya tiada sesiapa yang tahu akan hakikat dirinya yang jahil. Malah diamnya itu sebagai sebuah tanda bijaksana kerana dia mengetahui hakikat dirinya yang tidak berilmu.
Ironinya betapa banyak orang yang binasa kerana lidahnya di dunia ini? Betapa banyak manusia yang nantinya akan dihumban ke neraka kerana silap berkata-kata. Lantaran itu Islam tidak mengajar kita untuk mengeluarkan kata-kata yang tidak bermanfaat kepada sesiapa hatta kepada musuh atau orang yang kita tidak suka. Malah kepada seorang kafir pun kita disuruh untuk menjaga lidah dan adab.
Kita selalu menyangka lidah kita tidak pernah berdusta, tidak pernah tersasul dan tidak pernah tersilap bicara. Kita tanpa sedar seperti menetapkan bahawa diri kita adalah maksum seperti nabi. Tambahan pula kalau orang ramai menobatkan kita dengan gelaran keramat iaitu 'ulama'. Semakin kuatlah iman kita untuk menafikan kebarangkalian kita tersilap kata, tersalah langkah.
Padahal Rasulullah SAW berkata: "Setiap anak Adam akan melakukan kesilapan, dan yang terbaik adalah yang paling cepat taubatnya." (Hadis Tarmizi).
Ketika kita menggunakan hadis "ulama itu adalah pewaris nabi", kita tergelincir dengan membuat takwilan batil. Kita beranggapan sebagai pewaris nabi kedudukan kita sama seperti nabi di zaman ini. Natijahnya apa yang kita benarkan itu berupa perintah dan apa yang kita tegah berupa larangan. Barang siapa yang menyelisihi kita diancam neraka dan barang siapa yang mentaati kita diberi syurga. Sekiranya begitu, moleklah kita tuliskan dihujung nama kita "Alaihissalam". Atau hadiahkanlah kita sebuah Kursi Alaihissalam.
Tahukah apabila keadaan itu terjadi, umat juga akan menuruti jejak langkah ulama mereka. Ketika ulama mereka mendengar sebuah berita yang tidak dipastikan kesahihannya, maka terus sahaja sang ulama itu menyampaikan kepada umat. Apabila cuping telinga umat terdengar khabar tersebut, mereka cepat-cepat menyebarkan kepada masyarakat. Akhirnya merebaklah sebuah berita yang tidak sahih di tengah-tengah manusia.
Saat ini, ulama dan umat yang menjadi penyebar khabar tersebut sudah tidak memerlukan sebarang bukti terhadap tuduhan yang mereka lemparkan. Hujah adalah diri mereka; apabila mereka berkata "shahih" maka benarlah khabar tersebut. Ketika mereka berkata "ini dusta" maka palsulah khabar tersebut. Walhal Rasulullah SAW bersabda: "Sekiranya setiap manusia diberikan haknya berdasarkan dakwaan atau tuduhan mereka, sudah tentu akan ada orang-orang yang akan menuntut harta dan darah milik suatu kaum yang lain. Oleh itu pembuktian diwajibkan bagi yang mendakwa dan bersumpah bagi pihak yang yang dituduh." (Hadis Riwayat Baihaqi)
Lihatlah apa yang berlaku dalam masyarakat Islam kita. Betapa banyak berita yang tidak dapat kita pastikan kebenarannya namun kita tetap bercerita kepada jiran tetangga, kita siarkan dalam laman peribadi kita, dan kita teguh mempertahankannya ketika ada orang meminta bukti. Malah kita mencela pula orang yang menagih pembuktian dari kita.
Malangnya, kita berhadapan dengan dua keadaan yang mana kedua-dua keadaan itu akan membuatkan kita berdosa. Ibarat timun dan durian; menggilis luka, digilis pun luka. Jika benar khabar itu shahih maka kita tetap berdosa kerana Syubail bin 'Auf berkata: "Dikatakan barang siapa yang mendengar sebuah kekejian lalu menyebarkannya, maka orang itu seperti orang yang melakukan perbuatan keji tersebut" (Shahih. Adabul Mufrad).
Sebaliknya jika ternyata khabar tersebut tidak shahih maka kita juga akan berdosa kerana Rasulullah SAW bersabda; "Cukup seseorang itu dikatakan sebagai pendusta apabila dia menyampaikan setiap apa yang didengarnya." (Hadis Tarmizi)
Dua contoh yang hangat disebarkan oleh umat walhal mereka tidak mempunyai bukti walau sekelumit pun. Pertamanya ada seorang tokoh agama yang berkata kepada anak muridnya bahawa Sekreatariat Ulama Muda UMNO (iLMU) menerima wang sebanyak RM15,000 sebulan setiap orang: "Ulama Muda; ulama gila. Masuk parti sekular, masuk berenang dalam air najis. Terima RM15,000 khabarnya seorang sebulan, tapi duduk dalam najis sekular. Sekular ini keluar dari Islam, sesat dunia akhirat".
Pertamanya ustaz ini menuduh iLMU menerima wang hampir RM 0.6 juta sebulan dan keduanya ustaz ini telah mengkafirkan iLMU. Sedangkan masalah takfir (mengkafirkan orang) merupakan satu perkara yang sangat besar dalam Islam. Ulama Ahlus Sunnah sangat berhati-hati dalam menjatuhkan hukum kafir, sehingga kelompok sesat seperti Khawarij dan Mu'tazilah hanya dihukum sesat walaupun mereka menyeleweng jauh daripada Islam.
Keduanya adalah kes Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan yang mengeluarkan fatwa bolehnya wang zakat digunakan untuk pembayaran kos guaman Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan; Datuk Seri Jamil Khir ketika disaman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lucunya, segelintir masyarakat kita mengatakan Jamil Khir telah memakan wang zakat, padahal perbuatan beliau dilakukan setelah fatwa dikeluarkan oleh Mufti. Apakah kita ini lebih alim daripada mufti atau sebenarnya kita mahu melawan mufti? Jika kita diminta bukti terhadap tuduhan itu, ternyata kita tidak mempunyai hujah walau setitik pun.
Mufti mengeluarkan hukum atas ijtihad beliau yang disandarkan kepada Syeikh Rasyid Redha dalam Tafsir Al Manar: "Pendapat yang benar dalam jihad fi sabilillah ialah segala yang menyentuh kepentingan umat Islam dalam menegakkan urusan agama dan pemerintahan".
Sementara Imam As Son'ani dalam Subulus Salam berkata tentang jihad fi sabilillah adalah: "Termasuk mereka yang berkerja untuk kepentingan orang muslimin, seperti bidang peradilan, pemberian fatwa dan pengajaran, walaupun mereka termasuk orang kaya".
Ingin dilontarkan satu pertanyaan: Jika Anwar menang dalam kes ini, ke manakah wang zakat yang digunakan MAIWP itu pergi?

Thursday, 5 January 2012

MARI LAYAN CERITA LUCU LAK...KETAWA PENGUBAT DUKA DAN AWET MUDA HAHAHAH

CERITA PERTAMA



     Satu hari pada pukul 2.30 pagi. Ah Pow memandu teksinya sekitar bukit bintang. Tapi entah apa sebabnya, malam itu Bukit Bintang lengang pula. Perempuan-perempuan jalang tidak kelihatan lansung kecuali .....BREEEKKKK! Ah Pow menekan brek. Teksinya berhenti betul-betul di hadapan seorang perempuan berpakaian seksi yang berdiri ditepi jalan.

     "Taman Connaught, Cheras ya bang..." suara perempuan itu manja sekali. Perempuan itu kemudian duduk di kerusi depan, sebelah Ah Pow ..

     Sepanjang jalan, perempuan seksi itu cuba menggoda Ah Pow. Tetapi Ah Pow buat dek aja. Dua kilometer sebelum sampai ke Taman Connaught, perempuan seksi itu tiba-tiba membuka baju dan mencampaknya keluar..

     "jangan buat macam tu!" Ah Pow menjerit, tetapi perempuan seksi buka pula seluar jeansnya, dan membuangnya ke jalan raya...

     "jangan! jangan!" kata Ah Pow dan memperlahankan teksi. Tetapi perempuan itu tidak endahkan, malah meluncurkan pula pakaian dalamnya. Anehnya, Ah Pow terus marah dan membebel sampai perempuan itu tension giler. Apalah orang tua ni???....

     Perempuan itu naik marah kerana 'kehendaknya' tidak dilayan oleh Ah Pow , lalu dia pon berkata, ''ceh jantan bodoh! tak pernah tengok perempuan terlanjang ker?''....

     Jawab Ah Pow, ''bukan tak pernah, tapi masalahnya, kamu nak keluarkan duit dari mana?''


ADMIN: kuat iman jugak apek nie kan hahahahhahahahah.......




CERITA KEDUA



     Hafiz selalu datang lambat ke sekolah. Sudah la lambat, kuat membohong pula. Bohongnya pula bukan kecik-kecik anak. Guru kelas pun berjumpa dengan guru besar dan memberitahu,dia sudah tidak tahan lagi dengan sikap Hafiz ini...

     Kata guru besar, lain kali kalau Hafis datang lambat lagi, bawa jumpa dia. Kata guru besar, dia hendak beritahi satu cerita bohong kepada Hafiz, dan cerita itu tidak pernah diceritakannya kepada sesiapa pun sebelum ini.....

     Esoknya, Hafiz datang lambat lagi. Pukul 10.30 baru sampai ke sekolah! Kemudian Hafiz bohong gurunya, ''sebenarnya cikgu, saya ni pukul 6 pagi lagi telah pergi ke sekolah. Masa berjalan ke sini, saya lalu dekat sungai. Tiba-tiba saya nampak seekor ikan jenahak dalam sungai itu, punyalah besar'' cerita Hafiz sambil mendepangkan kedua-dua belah tangannya.....

     Kemudian ''kedebum... saya terjun dala sungai, kemudian saya tangkap ikan jenahak tu. Cikgu tau, ikan tu besar macam kereta kancil cikgu tu. Saya pikul ikan tu bawak balik, kemudian saya siang sampai bersih, dan masukan dalam peti ais, Tak muat peti ais, saya simpan bakinya kat rumah jiran. Penat betullah. Sebab tu saya lambat hari ni, cikgu'' kata Hafiz sambil tersengih....

     Guru kelas tak ada lengah-lengah, terus bawa Hafiz ke bilik guru besar. Di biliknya, guru besar pun bertanya kepada Hafiz, ''nak dengar cerita?''...

     ''nak'' jawab Hafiz....

     ''Pagi tadi masa cikgu nak pergi sekolah, cikgu pergi ke taman bunga dulu. Tiba-tiba cikgu terdengar bunyi pelik di belakang cikgu. Bila cikgu berpaling kebelakang. Cikgu terkejut, ada singa kat belakang cikgu. Singa tu besarnya macam bas sekolah! Ada tiga tanduk lagi!...

     ''Singa tu nak terkam cikgu. Tapi belum sempat singa tu terkam, seekor harimau keluar dari semak dan serang singa tu. Awak tau Hafiz, harimau tu menang! Harimau makan singa tu. Tapi sebab singa tu besar sangat, sampai pukul 9.00 tadi pun tak habis-habis lagi dia makan. Cikgu malas tunggu, cikgu start kereta terus pergi sekolah. Apa pandangan Hafiz tentang cerita cikgu tadi tu?''....

     Hafiz cepat-cepat menjawab, ''Ooooooooooo....itu harimau saya tu, cikgu. Nama dia Belang. Masuk hari ni dah empat ekor singa dimakannya!'' kata Hafiz dengan muka selamba.....



ADMIN: memang tak makan saman budak nie hahahahahaahha......

Tuesday, 3 January 2012

SAINS DAN AL-QURAN GRAVITI SIFAR BUKTI KEBENARAN AL-QURAN


AL-QURAN MUKJIZAT NABI MUHAMMAD SAW


         MANUSIA hanya sedar tentang kewujudan graviti pada sekitar kurun ke-17. Sebelum itu, tiada sesiapa pun penah terfikir mengenai graviti, apatah lagi berbincang perihal hukum-hakamnya.

         Orang pertama yang menjadi perintis kepada teori graviti adalah SIR ISAAC NEWTON, yang telah menerbitkan sebuah buku bertajuk LAW OF GRAVITATION pada tahun 1687. Selepas hukum graviti newton diperkenalkan, ia menjadi topik serius yang diperbincangkan di kalangan ahli sains serata dunia.

         KETIKA AWALNYA, ada dikalangan ilmuwan yang tidak dapt menerima konsep ini, malah menganggap ia sengaja direka cipta. ini disebabkan Newton hanya menyatakan tentang hukum graviti dan cara pengiraannya, tetapi tiada bukti kukuh yang menyokong dakwaannya itu.

        BAGAIMANAPUN, kesimpulan yang dibuat oleh Newton dengan menyatakan gravitilah yang memastikan bulan dan planet berada pada orbitnya, sedikit sebanyak telah menarik minat beberapa pengkaji untuk membuktikan perkara tersebut.

         DARI MASA KE SEMASA- merentasi abad ke abad, hukum graviti Newton terus menjadi topik hangat di dalam dunia sains. Ada juga saintis yang cuba mengeluarkan hukum baru mengenai graviti. Namun ia tidak dapat menandingi hukum graviti Newton yang masih diguna pakai sehingga kini.

         PADA awal abad ke-20, saintis terkemuka dunia ALBERT EINSTEIN telah mengemukakan satu teori baru mengenai graviti iaitu teori relatif am. Teori tersebut dikatakan dapat menyaingi hukum graviti Newton, dan di iktiraf sebagai hukum graviti yang paling berjaya setakat ini Bagaimanapun , Einstein masih belum dapat mengemukakan bukti kukuh tentang adanya graviti. Sehinggalah pada 14 jun 1949, kewujudan graviti berjaya dibuktikan melalui rakaman video semasa misi pertama makhluk bumi ke angkasa yang melibatkan seekor monyet bernama ALBERT II.

         DI sebalik pelbagai teori yang diutarakan oleh manusia, Al-Quran juga turut menyentuh tentang perkara ini. Kitab suci agama islam yang diwahyukan pada kurun ke-7 telah memberi kiasan mengenai keadaan zero gravity di ruang angkasa lepas. Menurut pensyarah di pusat pengajian umum universiti kebangsaan Malaysia, Prof. Madya. Dr. Arip Kasmo, dua potong ayat dari surah Al-Hijr (ayat: 14 dan 15) sudah cukup untuk menggambarkan bahawa daya tarikan graviti hanya wujud di planet, tapi tidak pada ruang angkasa.

FIRMAN ALLAH YANG BERMAKSUD, "DAN SEKIRANYA KAMI BUKAKAN KEPADA MEREKA SATU DARIPADA PINTU-PINTU LANGIT, LANTAS MEREKA NAIK TERUS KE ATASNYA, TENTU LAH MEREKA AKAN  BERKATA: SESUNGGUHNYA PANDANGAN KAMI TELAH DIMABUKKAN..."(AL-HIJR, AYAT 14 & 15)

         DR. ARIP menjelaskan, perkataan "mabuk" yang disebut dalam ayat tersebut diterjemakan kepada keadaan pandangan sekeliling yang tunggang langgang apabila naik ke angkasa.

         KENAPA pandangan seseorang akan jadi tunggang langgang apabila melepasi atmosfera bumi?

JELAS Dr Arip, apabila berada di ruang angkasa, daya tarikan graviti menjadi kosong, atau dengan kata lain, tiada lagi hukum graviti. Apabila tiada tarikan graviti, sistem pengimbang badan manusia tidak lagi berfungsi.

         SISTEM pengimbang badan manusia terletak dibahagian telinga. Di dalam telinga manusia, terdapat salur separuh bulat yang menampung sejenis cecair untuk mengimbangkan badan. Apabila cecair ini tidak lagi mampu untuk menentukan kedudukan dengan tepat. Dengan kata lain, keadaan atas bawahnya menjadi tunggang terbalik. Perkara inilah yang menyebabkan seseorang itu menjadi mabuk pandangan ketika berada di ruang angkasa.

         MENURUT kata Dr Arip lagi, seseorang astronaut yang sampai ke International Space Station (ISS) akan mengalami keadaan mabuk pandangan untuk beberapa jam pertama mereka di sana. Malah angkasawan pertama dunia, Yuri Gagarin yang menyertai kapal angkasa Vostok juga mengalami pandangan yang bermasalah selepas berada pada jarak 130 kilometer dari bumi.

         ITULAH antara mukjizat dan kehebatan AL-QURAN yang dapat dibuktikan melalui sains. Ia adalah mukjizat yang releven sepanjang zaman. Harus di ingat, AL-QURAN adalah kalam ALLAH dan dialah yang maha mengetahui segala-galanya dan dia juga berhak ke atas apa yang ada di alam semesta ini.(sumber: majalah infinity)

ADMIN: MARI MEMBACA AL-QURAN DAN TERJEMAHANNYA SEKALI

Published with Blogger-droid v2.0.2